|
| |
Al-Israa' [ayat
15-39]
[15]
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka
sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya
ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan
memikul dosa perbuatan orang lain. Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun
sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang
salah).
[16]
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri,
Kami perintahkan lebih dahulu orang-orang yang melampau dengan kemewahan di
antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat
padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.
[17]
Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh;
dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa
hambaNya.
[18]
Sesiapa yang menghendaki kesenangan hidup dunia, Kami akan segerakan kepadanya
dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian
Kami sediakan baginya neraka Jahannam, untuk membakarnya dalam keadaan yang hina
lagi tersingkir dari rahmat Allah.
[19]
Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang
baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka
mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
[20]
Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami
hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah
pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).
[21]
Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang
lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat
lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
[22]
Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana
akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat
pertolongan.
[23]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika
salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
sebarang perkataan kasar, sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau
menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang
mulia (bersopan santun).
[24]
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan
kasih sayangmu, dan doakanlah untuk mereka,: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[25]
Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu
orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia
adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
[26]
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan
haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros
yang melampau.
[27]
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang
Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
[28]
Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki
dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang
menyenangkan hati.
[29]
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula
engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah
engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
[30]
Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya,
dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Tuhanmu
Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
[31]
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah
yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan
membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.
[32]
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan
yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
[33]
Dan janganlah kamu membunuh seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah
membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara
zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas.
Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana
sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
[34]
Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik
(untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak
mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah
dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
[35]
Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan
timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan
sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
[36]
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua
anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
[37]
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana
sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat
menyamai setinggi gunung-ganang.
[38]
Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi
Tuhanmu.
[39]
Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan
kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan
bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan
dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari
rahmat Allah).
|